Sumber asal: Blog Umat Terakhir Edisi 3
http://umat-akhir.blogspot.com/2011/09/masalah.html
DALAM
keghairahan mengejar objektif berbentuk material dan kuasa, ramai
perlahan-lahan berubah menjadi semakin leka dan alpa serta lupa. Menjadi
alpa semasa gigih berusaha menyelesaikan masalah masing-masing, menjadi
leka mengejar cita-cita sendiri, menjadi lupa kepada objektif sebenar (prime
objective) yang mengatasi segala objektif-objektif minor yang lain.
Mesti ada sebab yang menyumbang kepada perubahan kita menjadi lupa dan
alpa. Mesti ada sebab. Mesti.
Katakan, kita dihujani masalah, kemudian berusaha
menyelesaikan masalah-masalah itu. Mahu atau tidak mahu, masalah itu
perlu diselesaikan dan jika tidak segera diselesaikan, fikiran kita akan
terus bercelaru. Masalah itu mungkin melibatkan bayaran ansuran kereta,
rumah, pinjaman bank dan sebagainya yang terdiri daripada angka-angka
yang mewakili urusan jual beli. Angka-angka itu pula semakin menyesakkan
dan perlu diselesaikan setiap bulan selama bertahun-tahun dan
berpuluh-puluh tahun.
Fikiran
hanya tertumpu kepada seribu satu cara untuk menyelesaikan masalah yang
tidak pernah selesai walaupun diselesaikan setiap bulan. Dalam
masa yang sama, setiap orang pula menetapkan objektif masing-masing
dalam kehidupan seharian. Objektif itu pula perlu
difikirkan untuk memastikan ia tercapai dengan beberapa cara yang
difikirkan sesuai. Sekali lagi akal fikiran bekerja untuk membantu kita
mencapai objektif pencapaian dalam kehidupan selain objektif kewangan.
Akal menjadi semakin penat bekerja.
Apabila fikiran hanya berperanan memikirkan kepada
masalah-masalah dan objektif-objektif dalam kehidupan, ia lama kelamaan
bertukar menjadi suatu fokus. Fikiran dipusatkan kepada satu arah yang
memerlukan kita mencapai setiap perkara yang perlu segera diselesaikan.
Hampir setiap masa, fikiran akan mengira wang, jumlah hutang, objektif
hidup, apa mahu makan hari ini dan sebagainya. Hanya itu yang
difikirkan. Semua itu mesti ada sebab. Mesti.
Ligat memikirkan wang yang tidak cukup untuk mengisi
petrol atau diesel kenderaan, ligat lagi memikirkan barang-barang dapur
yang semakin berkurangan ketika tiba pertengahan bulan, terus ligat
memikirkan bayaran hutang pinjaman yang tertunggak, bil telefon, ligat
memikirkan kos hidup yang sentiasa meningkat akibat kedunguan kerajaan
mengatur strategi bagi membantu memantapkan ekonomi isi rumah.
Para lepasan universiti pula ligat
memikirkan ‘hutang yang automatik tercipta’ sebaik sahaja menamatkan
pengajian dengan bantuan pinjaman PTPTN yang mencekik darah. Golongan
yang sama juga ligat memikirkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan
yang ‘setimpal’ dengan pengajian tinggi semasa di universiti, berfikir
dan berfikir kenapa masih menganggur dan hanya mampu bekerja sambilan
dengan gaji kecil yang tidak mampu membeli apa sahaja barangan dalam
kategori mewah seperti rakan-rakan mereka yang lain. Berfikir dan terus
berfikir.
Kumpulan
peniaga yang berniat mahu memperbesarkan perniagaan pula ligat berfikir
untuk mendapatkan tambahan modal selepas gagal mendapat pinjaman
daripada bank-bank perdagangan. Ada yang ambil keputusan membuat
pinjaman daripada ceti-ceti haram dan akhirnya terhimpit dengan pelbagai
ancaman selepas gagal menyelesaikan kadar bunga yang semakin
menggunung. Berfikir ligat untuk menyelesaikan masalah hutang ahlong
walaupun niat itu baik untuk jihad memakmurkan ekonomi keluarga dengan
menceburi perniagaan, terhimpit dan terhimpit, berfikir dan terus
berfikir. Semua itu mesti ada sebab. Mesti.
Ada pula yang ligat berfikir apa lagi
cara untuk menyelesaikan hutang kad kredit dan ada pula yang terpaksa
menggadai tanah hanya untuk melangsai hutang kad kredit bank-bank
komersial. Jika tidak diselesaikan segera, akan berdepan dengan
pengisytiharan muflis. Ligat berfikir, adakah akan muflis hanya
semata-mata kerana hutang kad kredit yang pada asalnya hanya $5,000 dan
beranak pinak menjadi puluhan ribu ringgit, dolar, jutaan rupiah, atau
apa-apa gandaan hutang dalam apa-apa mata wang sekalipun akibat faedah
atau bunga kad kredit yang memeritkan. Orang-orang kita ligat berfikir
mengenai masalah-masalah yang melanda diri mereka dalam urusan seharian.
Semua itu sungguh memenatkan.
Ada yang sanggup mencuri kerana tekanan hidup untuk
menyelesaikan masalah wang, ada yang menipu, ada yang menjual dadah, ada
yang menjual harga diri dan banyak lagi perkara-perkara salah yang
dilakukan hanya semata-mata untuk menyelesaikan masalah yang menghimpit
diri. Semua itu mesti ada sebab mengapa ia berlaku.
Setiap masalah yang melanda, mesti ada
sebab-sebabnya. Apakah sebab-sebab itu wahai saudara-saudara. Adakah
sebab semua barang di dunia ini perlukan wang? Adakah sebab kita hanya
perlu berhutang barulah kita boleh hidup seperti orang lain? Adakah
sebab kita perlu hidup bergaya walaupun terpaksa dibebani hutang hingga
akhirnya papa kedana? Adakah sebab sistem mata wang ini memang
menekan hidup kita? Apa sebab-sebabnya wahai
saudara-saudara yang dihormati semua? Apa?
Teringat kepada satu kisah nabi. Nabi
memberi kita satu panduan yang sangat berguna untuk menyelesaikan
masalah-masalah itu semua. Nabi pulang ke rumah dan bertanya kepada
Aisyah mengenai apakah yang ada untuk dimakan pada hari itu. Aisyah
memberitahu, tiada makanan untuk dijamah pada hari itu. Nabi membalas,
“kita berpuasa sunat sahaja hari ini”. Selesai masalah. Pahala pun
dapat.
Ada banyak yang
boleh dipelajari daripada kisah sependek itu. Kisah pendek itu juga
amat membantu kita membuka kewarasan terhadap menilai semula
masalah-masalah yang kita hadapi pada hari ini.
Kita dan fikiran kita hanya tertumpu
kepada masalah, masalah dan masalah. Atas sebab itu, kita hanya berfikir
mengenai bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah-masalah itu tanpa
menghalakan fikiran ke arah sudut satah yang sewajarnya. Disebabkan
ligat berfikir masalah yang bakal mendatang, impian bisnes tergendala
kerana tidak berani menganggung risiko yang sebenarnya boleh dihitung.
Bangun pagi, celik mata,
sudah mula berfikir mengenai masalah. Solat Subuh pun jadi tidak fokus
kerana fikiran bercelaru dengan masalah, masalah dan masalah. Jadi apa
sebenarnya yang kita fikirkan sehingga hidup menjadi tidak keruan wahai
saudara semua?
Kita
hanya fokus memikirkan kantung duit dan kehendak nafsu sehingga
menjerumuskan kita ke dalam pelbagai masalah yang menyesakkan ketenangan
fikiran. Itulah masalah kita semua apabila gagal menentukan kepentingan
mana yang lebih penting melebihi lain-lain kepentingan. Fikiran kita
gagal fokus kepada kepentingan yang sepatutnya ia berfikir dengan cara
yang sepatutnya. Akibatnya, fikiran kita memilih tanpa sedar untuk hidup
diselubungi masalah, masalah dan masalah.
Tanpa kita sedar, masalah yang kita
sedang hadapi itu dijadikan pula sebagai peluang kepada orang lain untuk
mencapai cita-cita mereka sama ada cita-cita kewangan, kedudukan atau
sebagainya.
Katakan
Ali ada masalah wang, ia jadi peluang kepada Ah Choo untuk menawarkan
pinjaman kepada Ali. Akibatnya Ali terjerat hutang dengan lintah darat.
Ah Choo pula memang sedia hidup bermasalah diselubungi permusuhan
kongsi-kongsi gelap. Kongsi gelap pula mempunyai masalah dengan
polis yang menguatkuasakan undang-undang. Polis pula menghadapi masalah
untuk mengawal kongsi-kongsi gelap itu semua dan lain-lain kes jenayah
yang berpunca daripada kehendak nafsu manusia yang menginginkan wang.
Disebabkan wang, ada juga polis terjerat masalah rasuah.
Ah Choo pula ada masalah dengan isterinya, jadi Steven
ada peluang untuk menawarkan khidmat pelacur kepada Ah Choo. Kemudian
Ah Choo dibelenggu pula masalah jangkitan HIV. Semuanya berputar dalam
darjah masalah yang tersendiri. Ia berputar disebabkan oleh satu masalah
yang kemudian membuahkan masalah-masalah yang lain. Akibatnya, masalah
yang bermula dengan satu ‘letusan’ kecil akan terus meledakkan hidup
semua orang. Semua orang akan terus berfikir dan berfikir bagi
menyelesaikan masalah masing-masing yang berpunca daripada kantung duit
dan kehendak nafsu.
Nabi sudah mengajar kita,
kalau tiada apa untuk dijamah, lebih baik berpuasa sunat. Ia juga pada masa sama akan mendidik nafsu. Apabila nafsu
terdidik dengan baik, jiwa akan mendekati sifat sabar. Sabar juga
membantu jiwa akur kepada ketentuan dan menjadi tenang. Tenang pula
membantu kita berfikir dengan baik. Berfikiran baik pula membantu kita
menjadi bebas sebebasnya daripada masalah-masalah dan
prasangka-prasangka dunia. Cukup sempurna, yang diajar oleh nabi kita
memang cukup sempurna. Bersegeralah selawat dan salam kepada baginda.
Melalui kisah pendek itu
juga, nabi mengajar kita untuk memilih jalan terbaik untuk menyelesaikan
masalah melalui cara berfikir yang terbaik. Mudah, kalau tiada makanan,
kita berpuasa. Pilihannya ialah berpuasa dan nabi tidak memilih cara
lain untuk menyelesaikan masalah itu walaupun akan pasti ada orang yang
memberi makanan kepada baginda sekiranya baginda meminta sedikit makanan
daripada mereka.
Nabi
memilih untuk berpuasa sebagai jalan penyelesaian. Nabi akur kepada
ujian Allah yang menentukan tiada makanan untuk baginda dan isterinya
Aisyah pada hari itu, lalu nabi berserah kepada Allah dan nabi pilih ke
jalan Allah untuk menyelesaikan masalah itu, jalan itu ialah berpuasa
sunat ke jalan Allah. Menangislah berselawat ke atas nabi. Sesungguhnya
nabi telah mengajar kita cara terbaik untuk menyelesaikan masalah iaitu
kembali kepada Allah yang Maha Pemurah dalam menentukan urusan
rezeki-Nya ke atas kita. Usah terlalu fikir masalah dan cara
penyelesaiannya, rezeki itu urusan Allah.
Andai terus fokus berfikir mengenai
kantung duit dan kehendak nafsu, sampai dunia kiamat pun tidak akan
pernah selesai. Lebih parah, pihak lain pula akan dipersalahkan apabila
kita memilih untuk dibebani masalah.
Kalau saudara-saudara semua mahu menyelesaikan masalah yang
dihadapi, renungi dan teladani kisah pendek yang pernah dilalui nabi
ketika hayat baginda. Jika mahu mengelak daripada dihujani
masalah-masalah kantung dan nafsu, juga perlu teladani kisah pendek itu.
Kisah teladan yang memberi perubahan besar kepada hidup. Contohi nabi,
maka sempurnalah kehidupan.
Saya tidak mahu menyediakan jawapan kepada bagaimana cara
untuk menyelesaikan masalah-masalah kantung duit yang saudara semua
hadapi. Pesan saya cuma satu, belajarlah daripada nabi kita yang seluruh
zaman dikasihi oleh seluruh isi langit dan bumi.
Don’t get twisted and tangled by problems which
occurred by our ownselves..
No comments:
Post a Comment